1. Kemahiran Mendengar: satu proses yang melibatkan dua kemahiran:
a. menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahasa yang hampir sama, cth:
b – p (badang – padang)
d – t (datang – tatang)
l – r (lali – lari)
k – g (kalah – galah)
b. memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat. Untuk memahami bunyi bahasa, murid perlu mempunyai unsur-unsur kefahaman berikut:
i. Pengetahuan yang sedia ada pada pendengar seperti fakta dan budaya bahasa yang didengar dan bagaimana bahasa digunakan.
ii. Pengetahuan tentang situasi berlakunya pertuturan yang didengar.
iii. Pengetahuan tentang sistem bahasa.
Proses mendengar adalah satu aktiviti yang aktif. Pendengar mesti mengenal pasti dan mengetahui makna bunyi bahasa. Pendengar juga memilih dan menyimpan apa yang difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan mendengar adalah satu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar.
Mendengar melibatkan dua proses utama, iaitu:
i. Membuat jangkaan: -
Apabila kita mendengar sesuatu, kita akan membuat jangkaan dalam fikiran terhadap apa yang kita dengar seterusnya.
Contoh: apabila kita mendengar berita kebakaran, kita akan membuat jangkaan tentang kemungkinan peristiwa yang akan berlaku berkaitan dengan kebakaran. Apabila jangkaan seperti ini dibuat, kita dapat mendengar dengan lebih berkesan lagi.
ii. Menentukan tujuan:
Murid perlu menentukan tujuan ia mendengar, sama ada untuk hiburan, pengetahuan atau maklumat. Mendengar tanpa tujuan adalah tidak berguna.
Faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran mendengar
(a) Fizikal – murid yang normal dapat mendengar dengan sempurna, tetapi peringkat kemahiran ini berbeza antara setiap individu; ada yang tajam pendengarannya dan ada pula yang sebaliknya walaupun mereka tidak tergolong dalam cacat pendengaran.
(b) Jantina – terdapat perbezaan kemahiran mendengar antara kanak-kanak lelaki dengan kanak-kanak perempuan, misalnya kanak-kanak lelaki yang berumur antara 7-9 tahun lebih lemah kemahiran mendengar mereka berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang sebaya dengannya.
(c) Status sosioekonomi – latar belakang keluarga, kemudahan di rumah, interaksi antara ahli keluarga mempengaruhi kebolehan mendengar dan emosi kanak-kanak. Kanak-kanak yang terganggu emosinya tidak akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang didengar.
(d) Gangguan bunyi – bunyi bising boleh mempengaruhi kebolehan mendengar.
(e) Mental – kemahiran mendengar berkait rapat dengan daya pemikiran kerana sesuatu yang didengar melalui deria telinga akan melalui proses mental untuk mendapat tindak balas. Tahap pemikiran kanak-kanak akan mempengaruhi kecekapan mendengar mereka.
Kemahiran mendengar dalam KBSR
Program Bahasa Melayu KBSR memberi penekanan kepada kemahiran asas berbahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Setiap kemahiran ini diajar secara gabung jalin. Penggunaan satu-satu kemahiran ini akan mempengaruhi penguasaan kemahiran yang lain.
Dalam mempelajari bahasa akan wujud perbualan; dan perbualan memerlukan kesepaduan antara kemahiran mendengar dengan kemahiran bertutur. Begitu juga, kemahiran mendengar boleh membantu murid menguasai kemahiran menulis. Kemahiran mendengar yang kurang baik menyebabkan seseorang murid itu tidak dapat membezakan bunyi-bunyi bahasa yang didengarnya. Oleh itu, ia mungkin menulis menurut apa yang didengarnya, yang berbeza daripada ujaran sebenar. Kemahiran mendengar menjadi asas kepada kemahiran membaca. Dengan itu pengukuhan kemahiran mendengar juga membantu murid menguasai kemahiran membaca dengan baik.
Masalah dalam menguasai kemahiran mendengar
(a) Kekeliruan dalam membezakan bunyi
(b) Kelemahan dalam memahami apa yang didengar
(c) Tidak cekap dalam memproses maklumat
(d) Kelajuan dalam pertuturan
(e) Gaya pertuturan – tekanan, intonasi, nada, jeda, kepanjangan dan dialek.
Pemilihan bahan dalam kemahiran mendengar
(a) Alat elektronik – radio, televisyen, video, karaoke, pita rakaman boleh membantu kerana bahagian-bahagian tertentu boleh diulang tanpa perubahan suara, intonasi dan sebagainya.
(b) Bahan rangsangan – bahan yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran mendengar, contohnya:
Bahan bentuk prosa:
Cerita, kuiz
Pesanan, temu ramah
Peraturan, syarahan
Iklan, laporan
Pengumuman, perbahasan
Perbualan/dialog, taklimat
Berita, wawancara
Ucapan, mesyuarat
Perbincangan, kempen
Surat, drama
Bahan bentuk puisi:
Pantun, syair
Sajak, nyanyian
Bahasa berirama
Bahan bentuk grafik
Pelan, rajah
Jadual, peta
Borang, graf
Gambar foto, carta
Gambar rajah
Bahan-bahan ini boleh dicetak dan dirakamkan dalam bentuk audio dan video. Semasa menyediakannya guru perlu memastikan bahan-bahan ini tidak terlalu panjang dan hendaklah disesuaikan dengan kebolehan murid.
Aktiviti mendengar
Ada 2 peringkat:
i. mendengar untuk mengenal pasti pelbagai bunyi bahasa. Contoh:
a. mendengar dan menyebut perkataan secara latih tubi:
ladang - padang
pantai - pandai
lali - lari
galah - kalah
b. latih tubi pemintal lidah:
Pandang pandan depan padang.
Letak tulang atas dulang
Berat beras dua belas kilo
Dari darah dari nanah yang punah di tanah
c. memadankan perkataan dengan gambar:
Tuliskan huruf A, B atau C dalam ruang di bawah gambar yang sesuai.
A = buku
B = kuku
C = duku
ii. Mendengar untuk memahami dan bertindak balas.
Pada peringkat ini, latihan diberi untuk menguji pemahaman murid terhadap apa yang diperdengarkan dan seterusnya bertindak balas. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dijalankan, antaranya ialah:
(a) Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas ringkas.
(b) Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas lebih lama.
(c) Aktiviti mendengar sebagai asas untuk belajar dan berbincang.
1. Contoh latihan mendengar yang memerlukan tindak balas ringkas:
a. Melakukan pergerakan mengikut arahan:
”Duduk”
”Tututp pintu”
”Berdiri tegak, rapatkan kaki.”
”Angkat tangan kanan ke atas dan kaki kiri ke hadapan”
”Pusing kiri”
”Pusing kanan”
b. Menandakan butiran yang berkaitan.
Latihan ini biasanya menggunakan petikan yang ringkas yang diperdengarkan kepada murid dan mereka diminta menandakan butiran yang berkaitan. Petikan ringkas ini dibaca atau diperdengarkan melalui pita rakaman. Contoh:
Seorang perempuan membawa tiga orang anaknya ke sebuah restoran dan memesan makanan daripada pelayan restoran tersebut.
”Berikan saya secawan teh, dua pinggan nasi lemak dan sepinggan bihun goreng.”
Murid diberi kertas edaran yang mengandung senarai menu makanan dan minuman. Sambil mendengar petikan dibaca, murid diminta menandakan butiran-butiran berkenaan.
Makanan; Minuman
Pulut panggang; Kopi
Mi rebus; Teh
Bihun goreng; Nescafe
Kek; Milo
Karipap; Air sejuk
Nasi lemak; Sirap
c. Menandakan betul atau salah.
Murid diberi kertas edaran yang mengandung bahan grafik seperti gambar, gambar rajah, graf atau jadual yang diikuti dengan senarai pernyataan. Semasa guru membacakan pernyataan-pernyataan tersebut, murid mendengar sambil menandakan ( / ) bagi pernyataan yang betul dan ( x ) bagi pernyataan yang salah berdasarkan bahan grafik yang diberi.
d. Menyusun gambar.
Murid diberi gambar yang tidak mengikut susunannya. Sambil mendengar bahan rangsangan seperti cerita atau puisi yang berkaitan daripada guru, mereka menyusun gambar-gambar itu mengikut urutan yang betul.
e. Mendengar dan memilih gambar.
Satu set gambar yang seakan-akan serupa diberi kepada murid. Mereka mendengar penerangan daripada guru atau pita rakaman dan memilih gambar yang tepat mengikut penerangan yang didengar.
f. Melukis bahan berbentuk gragik.
Dalam aktiviti ini murid mendengar penerangan yang diberi oleh guru. Sambil mendengar, murid merakamkan maklumat-maklumat itu dalam bentuk grafik seperti gambar, gambar rajah, carta, graf atau jadual. Contoh:
Guru bercerita:
”Encik Hamid berkahwin dengan Puan Halimah dan mendapat sepasang cahaya mata. Yang sulung bernama Faisal dan adiknya bernama Aini. Faisal berkahwin denganZaharah dan mendapat tiga orang cahaya mata iaitu Sasha, Izwan dan Azmi. Faisal kemudiannya mendapat pula dua orang anak saudara hasil perkahwinan Aini dengan Haris. Nama-nama mereka ialah Hafiz dan Khairul.”
Sambil mendengar cerita di atas, murid dikehendaki melukis carta jurai keturunan.
g. Menandakan lokasi dan arah perjalanan.
Aktiviti ini memerlukan murid mendengar dengan teliti cerita, penerangan atau arahan yang diberi. Murid menandakan lokasi dan arah perjalanan di atas peta mengiktu pernyataan yang didengar.
Contoh:
Setiap murid diberi sebuah peta kawasan perumahan. Guru menerangkan arah perjalanan seseorang ke tempat-tempat tertentu seperti sekolah, kedi buku, kedai runcit dan rumah kawan. Sambil mendengar penerangan guru, murid dikehendaki menandakan lokasi arah dan perjalanan di atas peta berkenaan.
h. Mengisi jadual.
Dalam aktiviti ini murid diberi jadual yang tidak lengkap untuk dimuatkan dengan data. Sambil mendengar bahan rangsangan seperti cerita, dialog atau penerangan, murid mengisi jadual tersebut dengan data yang diperlukan.
i. Teka siapa saya.
Aktiviti ini merupakan sejenis permainan yang membolehkan murid mendengar dengan teliti dan memberi jawapan dengan tepat. Guru menerangkan tentang sesuatu dan murid cuba meneka apa yang diterangkan oleh guru. Penerangan tentang sesuatu benda yang akan diteka itu diteruskan sehingga murid dapat meneka dengan betul. Biasanya bahan rangsangan yang digunakan berbentuk teka-teki.
Contoh:
”Rupa saya bulat. Saya boleh melompat dan berguling-guling. Manusia sanggup bersusah payah untuk menonton saya. Cuba teka siapakah saya?”
2. Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas yang lama.
Aktiviti jenis ini memerlukan murid menjawab soalan kefahaman, membuat ulasan, meringkaskan dan mencatat isi-isi penting daripada bahan yang didengar.
Contoh aktiviti:
i. Menjawab soalan kefahaman.
Berdasarkan bahan rangsangan yang diperdengarkan, murid diminta menjawab soalan-soalan kefahaman sama ada berbentuk objektif, aneka pilihan dan jenis terbuka. Contoh: murid diperdengarkan dengan ucapan guru besar pada ”Hari Guru”. Kemudian mereka diminta menjawab soalan-soalan berdasarkan ucapan tersebut.
ii. Mencatat isi, mengulas dan membuat ringkasan.
Murid mendengar bahan rangsangan seperti ucapan, lakonan, syair dan sajak. Sambil mendengar, mereka dikehendaki mencatat isi, mengulas atau membuat ringkasan daripada bahan yang didengar.
3. Aktiviti mendengar sebagai asas untuk belajar dan berbincang.
Aktiviti mendengar jenis ini merupakan langkah awal bagi satu pengajaran dan pembelajaran bahasa. Masa yang diperuntukkan adalah singkat. Walau bagaimanapun, langkah ini menjadi asas bagi aktiviti seterusnya. Murid mendengar dan memahami bahan rangsangan dan seterusnya menjalankan aktiviti seperti menterjemah dan menilai. Aktiviti-aktiviti ini memerlukan murid berbincang secara kumpulan dan hasilnya dilaporkan secara lisan atau bertulis, atau kedua-duanya sekali.
Contoh aktiviti:
i. Mengkategorikan fakta.
Dalam aktiviti ini murid diperdengarkan dengan bahan rangsangan seperti rencana, komentar, dokumentari dan perbahasan. Berdasarkan rangsangan ini, murid diminta mengkategorikan maklumat, kenyataan, pendapat dan ulasan.
ii. Menilai perwatakan.
Bahan rangsangan yang diperlukan bagi aktiviti ini seharusnya membolehkan murid menilai perwatakan seseorang. Contohnya, rakaman, perbualan, dialog, lakonan, perbincangan dan forum. Setelah mendengar bahan rangsangan ini, murid diminta menilai sikap dan pendirian penutur.
iii. Mendengar untuk mencantum maklumat.
Dalam aktiviti ini murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mendengar petikan yang berbeza tetapi berkaitan. Mereka kemudian bertukar-tukar maklumat dan mencantumkan maklumat ini untuk membolehkan murid melaksanakan tugasan.
Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar
Dalam melaksanakan aktivit mendengar, guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan kelicinan dan keberkesanan pengajaran. Perancangan ini boleh dibuat mengikut peringkat berikut:
(a) Peringkat pramendengar
(b) Peringkat semasa mendengar
(c) Peringkat selepas mendengar
(a) Peringkat pramendengar
• Guru memberi tugasan atau soalan kepada murid terlebih dahulu sebelum mereka mula mendengar.
• Guru memberi gambaran menyeluruh tentang apa yang hendak diperdengarkan.
• Guru memberi arahan yang jelas tentang tugasan dan memastikan bahan rangsangan dalam keadaan baik serta mencukupi.
• Guru memastikan murid dalam keadaan sedia untuk mengikuti aktiviti.
(b) Peringkat semasa mendengar
• Guru memastikan murid dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap bahan rangsangan.
• Guru hendaklah mengatasi sebarang gangguan yang mungkin timbul semasa aktiviti mendengar dijalankan.
(c) Aktiviti sesudah mendengar
• Guru menghuraikan tentang perkara yang ditimbulkan oleh murid dalam bahan rakaman yang mungkin menyulitkan pemahaman mereka.
• Guru memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bahan itu.
• Guru memastikan murid menyempurnakan tugasan dan membuat pengukuhan.
• Guru menjalankan aktiviti tindakan susulan.
Pengajaran kemahiran mendengar hendaklah digabungjalinkan dengan satu atau lebih kemahiran bahasa yang lain dalam satu waktu pengajaran bahasa. Misalnya, kemahiran mendengar digabungjalinkan dengan kemahiran bertutur.
Aktiviti mendengar hendaklah dijalankan secara berterusan sebagaimana kemahiran-kemahiran bahasa yang lain dan guru perlu meningkatkan tahap kesukaran bahan secara beransur-ansur sesuai dengan kebolehan murid.
Daripada contoh aktiviti yang diberikan, berbagai-bagai teknik boleh digunakan untuk menjadikan aktiviti mendengar ini lebih menarik dan mencabar seperti teknik bercerita, soal-jawab, perbincangan, lakonan, latih tubi dan nyanyian.
Penilaian Dalam Kemahiran Mendengar
Bagi sesuatu tugasan aktiviti mendengar, murid perlu mendapat maklum balas dengan segera agar ia dapat membetulkan kesilapan dan mengukuhkan kemahiran yang sedang dikuasainya. Oleh itu, penilaian perlu dijalankan sama ada secara formatif atau sumatif. Perlu diingat bahawa lazimnya guru dapat menilai kemahiran mendengar seseorang murid melalui tindak balas yang ditunjukkannya dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan.
Berikut diberikan beberapa contoh penilaian tentang beberapa aspek kemahiran mendengar:
(a) Sebutan, tekanan, jeda, intonasi:
Murid mengenal pasti di manakah letaknya tekanan atau jeda dalam sesuatu ayat supaya lebih memahami maknanya. Di samping itu, murid juga haruslah dapat menyebut perkataan yang didengar dengan sebutan dan intonasi yang baik.
(b) Mendiskriminasikan bunyi dan perkataan:
Murid mengenal pasti sesuatu yang didengar supaya dapat membuat perbezaan bunyi huruf dan perkataan. Contoh:
dedak - ledak
bagi - baki
keras - kerat, dll
(c) Kefahaman terhadap teks yang didengar:
Murid boleh diperdengarkan pelbagai bentuk teks seperti cerita, ucapan, pengumuman, dialog, berita dan iklan. Guru boleh menguji kefahaman yang terdiri daripada pelbagai aras kognitif.
Contoh soalan mengikut aras kognitif:
i. Siapakah yang melawat Pusat Pertanian Daerah? (pengetahuan)
ii. Tuliskan tiga perkara yang diterangkan oleh pegawai pertanian kepada pelawat-pelawat tersebut. (kefahaman)
iii. Pada pendapat kamu, mengapakah beberapa orang pegawai pertanian dihantar berkursus di luar negeri? (sintesis)
(d) Daya memahami dan memproses maklumat:
Segala maklumat yang didengar perlu difahami dan dapat disampaikan dengan betul kepada orang lain. Murid yang cekap dapat menyampaikan maklumat itu tanpa mengubah maksud asal. Contoh:
Aktiviti ini dijalankan dalam bentuk kumpulan. Guru menyampaikan suatu berita kepada seorang murid dalam setiap kumpulan. Murid berkenaan diminta menyampaikan berita itu kepada kawan di sebelahnya. Aktiviti ini diteruskan sehingga berita itu sampai kepada murid terakhir dalam kelas tersebut. Murid yang terakhir diminta menerangkan berita yang diterimanya kepada kelas.
Melalui aktiviti ini guru boleh menilai sejauh manakah maklumat yang diterima itu disampaikan dengan betul dan tepat.
(e) Kemahiran menentukan isi-isi penting:
kemahiran ini boleh dinilai melalui latihan mengambil pesanan daripada perbualan melalui telefon. Guru boleh memperdengarkan perbualan melalui telefon antara seorang kakak dengan adiknya.
Daripada perbualan yang didengar, pelajar diminta untuk mencatatkan beberapa isi penting.
KEMAHIRAN BERTUTUR
Bertutur merupakan cara utama manusia berkomunikasi. Bertutur memerlukan dua proses:
i. Proses mental – pengetahuan bahasa
ii. Proses fizikal – menggunakan organ-organ ujaran untuk mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa.
Terdapat pula dua unsur yang membantu menjadikan komunikasi lebih berkesan, iaitu:
i. Unsur-unsur prosodi – intonasi, nada, tekanan, kepanjangan, jeda.
ii. Unsur-unsur paralinguistik – penggunaan isyarat dan pergerakan anggota badan, mimik muda, dsb.
Objektif Kemahiran Bertutur
KBSR menekankan pengajaran bertutur bagi membolehkan murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan, dengan guru, dengan ibu bapa serta aktiviti pembelajaran. Oleh itu pembelajaran bertutur haruslah membolehkan murid dapat:
i. Menyebut dengan jelas
ii. Menyampaikan pendapat
iii. Melaporkan peristiwa, menghurai dengan tepat
iv. Memberikan penerangan / alasan
v. Menunjukkan arah
vi. Membina soalan untuk mendapatkan maklumat
vii. Bertemu ramah/ temu bual/ berdialog
viii. Bertukar-tukar fikiran / maklumat
ix. Menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar
x. Bertutur dengan menggunakan bahasa yang bertatasusila.
Peringkat-peringkat dalam kemahiran lisan (mendengar dan bertutur)
i. Peringkat penerimaan mendengar dan memahami
Iaitu latihan kefahaman mendengar yang menitikberatkan intonasi, frasa dan ayat, aspek sebutan, kelancaran dan kefasihan berbahasa. Pada peringkat ini murid diperdengarkan contoh-contoh ujaran yang betul sama ada secara langsung daripada guru atau rakaman.
ii. Peringkat penghasilan semula bertindak balas
Peringkat ini murid dilatih bertutur dengan menumpukan aspek-aspek:
(a) Sebutan bunyi tunggal, seperti [m], [l], [r], [s], dsb.
(b) Sebutan perkataan yang melibatkan vokal dan diftong seperti ambor, pantai, pulau, saat, baik, air, dsb.
(c) Nada yang sesuai seperti bertanya, meminta kepastian, permintaan, dsb.
(d) Aspek tatabahasa seperti penggunaan imbuhan, struktur ayat, dsb.
(e) Penggunaan laras mengikut situasi, tujuan, pendengar, dsb.
(f) Aspek makna, ayat dan wacana yang tepat dan sesuai.
Fungsi-fungsi pertuturan
i. Fungsi peribadi kemampuan murid menyampaikan buah fikiran, perasaan atau hajat mereka dengan jelas dan tepat.
ii. Fungsi perhubungan mengisi keperluan harian. Contoh:
- melahirkan rasa simpati terhadap orang lain.
- Berkongsi kegembiraan seseorang
- Menunjukkan keprihatinan kepada kebajikan orang lain
- Meminta diri
- Meminta maaf dan memberi kemaafan
- Memberi alasan tanpa menyinggung perasaan orang lain
- Menyatakan penghargaan dan berterima kasih
- Menyatakan persetujuan dengan pendapat orang lain
- Menyatakan ketidaksetujuan
- Mencelah dengan cara yang sopan semasa orang lain sedang bercakap
iii. Fungsi memberi arahan membolehkan murid menggunakan ayat-ayat arahan / permintaan ketika mengarah, memohon, memberi cadangan, meyakinkan orang lain, dsb.
iv. Fungsi menyoal bertujuan melatih murid supaya dapat membina soalan dengan jelas, tepat dan ringkas.
v. Fungsi merujuk berkaitan dengan kemahiran bertutur tentang kejadian yang telah, sedang dan akan berlaku. Dalam pelaksanaannya, murid-murid lebih banyak dilatih menggunakan aspek linguistik dengan betul dan tepat seperti penggunaan kata, struktur ayat dan aspek morfologi.
vi. Fungsi imaginasi bertujuan melatih murid dapat menggunakan bahasa secara kreatif semasa bertutur. Contoh:
- mencipta dan melafazkan puisi dengan anda dan intonasi yang betul
- menggunakan bahasa berirama
- bertutur secara spontan dalam lakonan dan drama
- bercerita secara kreatif
vii. Fungsi menyampaikan maklumat melatih murid menyampaikan maklumat secara lisan dengan jelas dan betul berdasarkan pengalaman, pendengaran dan pembacaan untuk dikongsi dengan orang lain.
Contoh-contoh aktiviti bertutur dalam KBSR
• Mengaitkan aksi dengan pertuturan
• Menjawab soalan-soalan rakan atau guru
• Membina soalan berdasarkan bahan
• Memberi arahan kepada rakan-rakan
• Menerangkan gambar atau bahan grafik
• Berbual melalui telefon
• Bercerita berdasarkan cerita yang telah diketahui atau menceritakan pengalaman sendiri
• Membuat laporan berdasrkan tajuk yang telah disediakan dan menjawab soalan yang diajukan
• Membina sudut pembelajaran seperti kedai, perpustakaan, pejabat pos, bank, dan kemudahan awam yang lain dan berbual mengenainya secara spontan.
• Permainan komunikatif
• Mengadakan perbahasan, perbincangan, forum dan aktiviti-aktiviti lain yang memerlukan murid mendengar dan kemudian melahirkan pendapat, persetujuan, keraguan atau menambah maklumat.
• Merakamkan perbahasan atau berita untuk perbincangan lanjut
• Main peranan
• Drama. Dll.
Perancangan aktiviti kemahiran bertutur
Perancangan merangkumi 3 peringkat:
i. Peringkat persediaan
ii. Peringkat pelaksanaan
iii. Peringkat susulan dan penilaian
i. Peringkat persediaan
(a) Guru menerangkan tugasan yang akan dilakukan oleh murid atau membuat tunjuk cara serta memberikan contoh.
(b) Guru mengedarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat aktiviti. Contoh: kad kiu, bahan stensilan dan peralatan-peralatan lain yang mungkin perlu.
(c) Guru memastikan semua alat dan bahan mencukupi dan murid memahami tugasan.
ii. Peringkat pelaksanaan aktiviti
(a) Murid menjalankan tugasan seperti yang diarahkan
(b) Guru menyelia dan membimbing kelas, kumpulan atau pasangan yang mengambil bahagian.
iii. Peringkat susulan dan penilaian
Aktiviti susulan dan penilaian perlu untuk mendapatkan maklum balas tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh murid. Contoh: mengadakan perbincangan dan kemudian guru memberikan maklum balas tentang prestasi dan pencapaian murid. Sebagai pengukuhan, guru digalakkan memberi kerja rumah uang berkaitan untuk aktiviti susulan.
Dalam pengajaran/pembelajaran, elok dibentuk kumpulan-kumpulan kecil supaya sebahagian besar daripada murid dapat mengambil bahagian yang aktif dalam masa yang terhad. Pengajaran kemahiran bertutur harus digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain untuk melahirkan satu kesepaduan yang bermakna. Penggabungjalinan juga penting bagi mengukuhkan pembelajaran murid.
Penggunaan alat / bahan dalam kemahiran bertutur
Pemilihan alat / bahan adalah berdasarkan kesesuaianya dengan objektif pelajaran dan keberkesanan penggunaan. Alat / bahan bantuan mengajar dalam kemahiran bertutur termasuklah:
(a) Guru, murid dan bilik darjah: gerak laku guru dan murid boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran, misalnhya:
i. Guru manaik dan menurunkan tangan bagi menunjukkan perbezaan intonasi dalam pengucapan.
ii. Guru menunjukkan cara-cara membunyikan sesuatu sebutan.
iii. Guru menggunakan papan tulis untuk mencatat frasa yang perlu digunakan oleh murid apabila bertutur.
(b) Objek sebenar: objek yang biasa digunakan sehari-hari boleh dijadikan alat / bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk membolehkan murid:
i. Mengaitkan konsep dengan bunyi, misalnya bunyi berbagai-bagai kenderaan, mergastua, pergerakan air, dsb dengan menggunakan pita rakaman.
ii. Mengaitkan situasi dengan pertuturan sebenar yang sedang berlaku. Contoh: pertuturan sekumpulan orang di stesen bas berbeza dengan pertuturan di pasar. Contoh ini juga boleh diperdengarkan melalui pita rakaman atau tayangan filem/video.
iii. Bahan-bahan sebenar seperti tiket bas, menu, butang baju pelbagai warna dan saiz, buku, majalah, kalendar dan borang adalah bahan-bahan yang diboleh digunakan secara kreatif sebagai bahan untuk bertutur.
(c) Gambar: elok difailkan gambar-gambar yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bertutur. Gambar-gambar tunggal atau bersiri sesuai digunakan sebagai bahan rangsangan untuk aktiviti bercerita, berlakon, berpuisi, berdialog, dsb.
(d) Grafik: pelbagai grafik sesuai digunakan sebagai bahan rangsangan untuk bertutur seperti:
i. Carta pai – palang; lingkaran; carta organisasi, dsb
ii. Jadual – jadual waktu; perjalanan; jadual tugas; dsb.
iii. Pelan / peta – arah perjalanan; kedudukan sesuatu tempat, dsb/
(e) Kad:
i. kad perkataan
ii. kad arahan / kad peranan.
(f) Bahan nyanyian, puisi dan permainan:
i. Mencipta senikata lagu berdasarkan irama popular
ii. Meneka siapa saya
iii. Kotak beracun
iv. Teka-teki, dsb.
(g) Alat / bahan yang dibeli:
i. Makmal bahasa untuk latihan sebutan, intonasi, tekanan, nada, jeda, dsb.
ii. Filem, slaid, video, tv, radio, perakam kaset, dsb.
iii. Komputer.
No comments:
Post a Comment