Friday, July 31, 2009

KEMAHIRAN BERTUTUR

Bertutur merupakan cara utama manusia berkomunikasi. Bertutur memerlukan dua proses:
i. Proses mental – pengetahuan bahasa
ii. Proses fizikal – menggunakan organ-organ ujaran untuk mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa.

Terdapat pula dua unsur yang membantu menjadikan komunikasi lebih berkesan, iaitu:
i. Unsur-unsur prosodi – intonasi, nada, tekanan, kepanjangan, jeda.
ii. Unsur-unsur paralinguistik – penggunaan isyarat dan pergerakan anggota badan, mimik muda, dsb.


Objektif Kemahiran Bertutur

KBSR menekankan pengajaran bertutur bagi membolehkan murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan, dengan guru, dengan ibu bapa serta aktiviti pembelajaran. Oleh itu pembelajaran bertutur haruslah membolehkan murid dapat:

i. Menyebut dengan jelas
ii. Menyampaikan pendapat
iii. Melaporkan peristiwa, menghurai dengan tepat
iv. Memberikan penerangan / alasan
v. Menunjukkan arah
vi. Membina soalan untuk mendapatkan maklumat
vii. Bertemu ramah/ temu bual/ berdialog
viii. Bertukar-tukar fikiran / maklumat
ix. Menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar
x. Bertutur dengan menggunakan bahasa yang bertatasusila.


Peringkat-peringkat dalam kemahiran lisan (mendengar dan bertutur)

i. Peringkat penerimaan - mendengar dan memahami
Iaitu latihan kefahaman mendengar yang menitikberatkan intonasi, frasa dan ayat, aspek sebutan, kelancaran dan kefasihan berbahasa. Pada peringkat ini murid diperdengarkan contoh-contoh ujaran yang betul sama ada secara langsung daripada guru atau rakaman.

ii. Peringkat penghasilan semula - bertindak balas
Peringkat ini murid dilatih bertutur dengan menumpukan aspek-aspek:
(a) Sebutan bunyi tunggal, seperti [m], [l], [r], [s], dsb.
(b) Sebutan perkataan yang melibatkan vokal dan diftong seperti ambor, pantai, pulau, saat, baik, air, dsb.
(c) Nada yang sesuai seperti bertanya, meminta kepastian, permintaan, dsb.
(d) Aspek tatabahasa seperti penggunaan imbuhan, struktur ayat, dsb.
(e) Penggunaan laras mengikut situasi, tujuan, pendengar, dsb.
(f) Aspek makna, ayat dan wacana yang tepat dan sesuai.


Fungsi-fungsi pertuturan

i. Fungsi peribadi - kemampuan murid menyampaikan buah fikiran, perasaan atau hajat mereka dengan jelas dan tepat.
ii. Fungsi perhubungan - mengisi keperluan harian. Contoh:
- melahirkan rasa simpati terhadap orang lain.
- Berkongsi kegembiraan seseorang
- Menunjukkan keprihatinan kepada kebajikan orang lain
- Meminta diri
- Meminta maaf dan memberi kemaafan
- Memberi alasan tanpa menyinggung perasaan orang lain
- Menyatakan penghargaan dan berterima kasih
- Menyatakan persetujuan dengan pendapat orang lain
- Menyatakan ketidaksetujuan
- Mencelah dengan cara yang sopan semasa orang lain sedang bercakap

iii. Fungsi memberi arahan - membolehkan murid menggunakan ayat-ayat arahan / permintaan ketika mengarah, memohon, memberi cadangan, meyakinkan orang lain, dsb.

iv. Fungsi menyoal - bertujuan melatih murid supaya dapat membina soalan dengan jelas, tepat dan ringkas.


v. Fungsi merujuk - berkaitan dengan kemahiran bertutur tentang kejadian yang telah, sedang dan akan berlaku. Dalam pelaksanaannya, murid-murid lebih banyak dilatih menggunakan aspek linguistik dengan betul dan tepat seperti penggunaan kata, struktur ayat dan aspek morfologi.

vi. Fungsi imaginasi - bertujuan melatih murid dapat menggunakan bahasa secara kreatif semasa bertutur. Contoh:
- mencipta dan melafazkan puisi dengan anda dan intonasi yang betul
- menggunakan bahasa berirama
- bertutur secara spontan dalam lakonan dan drama
- bercerita secara kreatif

vii. Fungsi menyampaikan maklumat - melatih murid menyampaikan maklumat secara lisan dengan jelas dan betul berdasarkan pengalaman, pendengaran dan pembacaan untuk dikongsi dengan orang lain.


Contoh-contoh aktiviti bertutur dalam KBSR

• Mengaitkan aksi dengan pertuturan
• Menjawab soalan-soalan rakan atau guru
• Membina soalan berdasarkan bahan
• Memberi arahan kepada rakan-rakan
• Menerangkan gambar atau bahan grafik
• Berbual melalui telefon
• Bercerita berdasarkan cerita yang telah diketahui atau menceritakan pengalaman sendiri
• Membuat laporan berdasrkan tajuk yang telah disediakan dan menjawab soalan yang diajukan
• Membina sudut pembelajaran seperti kedai, perpustakaan, pejabat pos, bank, dan kemudahan awam yang lain dan berbual mengenainya secara spontan.
• Permainan komunikatif
• Mengadakan perbahasan, perbincangan, forum dan aktiviti-aktiviti lain yang memerlukan murid mendengar dan kemudian melahirkan pendapat, persetujuan, keraguan atau menambah maklumat.
• Merakamkan perbahasan atau berita untuk perbincangan lanjut
• Main peranan
• Drama. Dll.


Perancangan aktiviti kemahiran bertutur

Perancangan merangkumi 3 peringkat:
i. Peringkat persediaan
ii. Peringkat pelaksanaan
iii. Peringkat susulan dan penilaian


i. Peringkat persediaan

(a) Guru menerangkan tugasan yang akan dilakukan oleh murid atau membuat tunjuk cara serta memberikan contoh.
(b) Guru mengedarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat aktiviti. Contoh: kad kiu, bahan stensilan dan peralatan-peralatan lain yang mungkin perlu.
(c) Guru memastikan semua alat dan bahan mencukupi dan murid memahami tugasan.

ii. Peringkat pelaksanaan aktiviti

(a) Murid menjalankan tugasan seperti yang diarahkan
(b) Guru menyelia dan membimbing kelas, kumpulan atau pasangan yang mengambil bahagian.

iii. Peringkat susulan dan penilaian

Aktiviti susulan dan penilaian perlu untuk mendapatkan maklum balas tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh murid. Contoh: mengadakan perbincangan dan kemudian guru memberikan maklum balas tentang prestasi dan pencapaian murid. Sebagai pengukuhan, guru digalakkan memberi kerja rumah uang berkaitan untuk aktiviti susulan.

Dalam pengajaran/pembelajaran, elok dibentuk kumpulan-kumpulan kecil supaya sebahagian besar daripada murid dapat mengambil bahagian yang aktif dalam masa yang terhad. Pengajaran kemahiran bertutur harus digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain untuk melahirkan satu kesepaduan yang bermakna. Penggabungjalinan juga penting bagi mengukuhkan pembelajaran murid.


Penggunaan alat / bahan dalam kemahiran bertutur

Pemilihan alat / bahan adalah berdasarkan kesesuaianya dengan objektif pelajaran dan keberkesanan penggunaan. Alat / bahan bantuan mengajar dalam kemahiran bertutur termasuklah:

(a) Guru, murid dan bilik darjah: gerak laku guru dan murid boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran, misalnhya:
i. Guru manaik dan menurunkan tangan bagi menunjukkan perbezaan intonasi dalam pengucapan.
ii. Guru menunjukkan cara-cara membunyikan sesuatu sebutan.
iii. Guru menggunakan papan tulis untuk mencatat frasa yang perlu digunakan oleh murid apabila bertutur.

(b) Objek sebenar: objek yang biasa digunakan sehari-hari boleh dijadikan alat / bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk membolehkan murid:
i. Mengaitkan konsep dengan bunyi, misalnya bunyi berbagai-bagai kenderaan, mergastua, pergerakan air, dsb dengan menggunakan pita rakaman.
ii. Mengaitkan situasi dengan pertuturan sebenar yang sedang berlaku. Contoh: pertuturan sekumpulan orang di stesen bas berbeza dengan pertuturan di pasar. Contoh ini juga boleh diperdengarkan melalui pita rakaman atau tayangan filem/video.
iii. Bahan-bahan sebenar seperti tiket bas, menu, butang baju pelbagai warna dan saiz, buku, majalah, kalendar dan borang adalah bahan-bahan yang diboleh digunakan secara kreatif sebagai bahan untuk bertutur.

(c) Gambar: elok difailkan gambar-gambar yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bertutur. Gambar-gambar tunggal atau bersiri sesuai digunakan sebagai bahan rangsangan untuk aktiviti bercerita, berlakon, berpuisi, berdialog, dsb.

(d) Grafik: pelbagai grafik sesuai digunakan sebagai bahan rangsangan untuk bertutur seperti:
i. Carta pai – palang; lingkaran; carta organisasi, dsb
ii. Jadual – jadual waktu; perjalanan; jadual tugas; dsb.
iii. Pelan / peta – arah perjalanan; kedudukan sesuatu tempat, dsb/

(e) Kad:
i. kad perkataan
ii. kad arahan / kad peranan.

(f) Bahan nyanyian, puisi dan permainan:
i. Mencipta senikata lagu berdasarkan irama popular
ii. Meneka siapa saya
iii. Kotak beracun
iv. Teka-teki, dsb.

(g) Alat / bahan yang dibeli:
i. Makmal bahasa untuk latihan sebutan, intonasi, tekanan, nada, jeda, dsb.
ii. Filem, slaid, video, tv, radio, perakam kaset, dsb.
iii. Komputer.

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih, mohon berkongsi maklumatnya.