Tuesday, June 2, 2009

FAKTOR-FAKTOR PSIKOLINGUISTIK DALAM PENGUASAAN KEMAHIRAN MEMBACA

Abstrak
Artikel ini pada dasarnya ditulis untuk melihat hubung kait di antara disiplin psikolinguistik dan kemahiran membaca. Tumpuan diberikan kepada disiplin psikolinguistik serta faktor-faktor yang berkaitan yang mempengaruhi aspek penguasaan kemahiran membaca. Faktor-faktor utama yang diberi penekanan dalam penulisan ini ialah faktor fizikal, mental dan emosi.

Pengenalan

Ahli-ahli psikolinguistik berpendapat bahawa membaca yang sebenar adalah satu aktiviti yang bertujuan untuk mencari makna yang tersurat dan tersirat dalam teks atau petikan yang dibaca. Membaca dianggap sebagai satu proses psikolinguistik kerana apabila seseorang itu membaca sesuatu bahan bacaan, dia secara tidak langsung membentuk semula di dalam fikirannya erti atau maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang penulis. Dalam proses ini, pembaca menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan dunianya untuk merumuskan erti perkataan atau ayat dengan melakukan intergrasi dan rekonstruksi. Dengan perkataan lain, proses membaca menggunakan struktur dalaman pembaca untuk menginterpretasikan struktur luaran. Fenomena ini ditegaskan oleh Goodman (1973):

“Reading is the receptive of written communication. In written language a message has been encoded by the writer in graphics symbols spatially distributed on the page. The reader does not merely pass his eyes over written language and receive and record a stream of visual perceptual images. He must actively bring to bear his knowledge of language, his past experience, his conceptual attainments on the processing of language information encoded in the form of graphic symbols in order to decode the written language. Reading must therefore be regarded as an interaction between the reader and written language, through which the reader attempts to reconstruct message from the writer.”

Oleh yang demikian sebahagian besar daripada kecekapan membaca bergantung kepada kebolehan membuat inferensi yang sesuai dan kesimpulan yang munasabah. Makna yang ada dalam teks diperolehi oleh pembaca dengan memahami apa yang dinyatakan secara eksplisit dan implisit oleh pengarang serta mengaitkannya dengan apa yang sememangnya sudah ada hasil daripada pengetahuan latar pembaca itu sendiri. Pengetahuan latar ini wujud dan berkembang dengan adanya gabungan antara pengetahuan dan pengalaman dari dunia sekitar pembaca. Tegasnya, apa yang dimaksudkan dengan faktor-faktor psikolinguistik dalam proses membaca berkaitan dengan pengetahuan dan kesediaan pembaca serta latar belakangnya. Untuk menghuraikan faktor-faktor psikolinguistik dalam penguasaan kemahiran membaca, perkara penting yang harus diberi perhatian ialah diri pembaca, terutamanya dari segi kesediaan fizikal, emosi dan mental kerana faktor-faktor ini terlibat secara langsung dalam penguasaan kemahiran tersebut.


Apakah Psikolinguistik?

Menurut Mangantar Simanjuntak (1987), psikolinguistik merupakan satu ilmu yang mencuba menghuraikan proses-proses psikologi yang terjadi apabila seseorang mengucapkan ayat-ayat dan memahami ayat-ayat yang didengar pada waktu berkomunikasi dan bagaimana kebolehan itu diperoleh manusia.
Smith pula mengatakan psikolinguistik sebagai “ …A field of study that lies at the intersection of two broader disciplines, psychology and linguistics.

Kamarudin Hj. Husin (1988), mengatakan bahawa psikolinguistik adalah sains interdisiplin yang lahir daripada hasil percantuman dua disiplin sains : psikologi dan linguistik. Istilah ini telah dicipta setelah adanya pertemuan-pertemuan oleh beberapa orang pakar dalam bidang psikologi dan linguistik yang masing-masing cuba mencari dan menentukan hubungan di antara kedua-dua sains ini.

Pada peringkat teoritis, tujuan utama psikolinguistik ialah mencari satu teori bahasa yang munasabah dan unggul dari segi linguistik dan psikologi yang mampu menerangkan hakikat bahasa dan pemerolehannya. Oleh itu psikolinguistik cuba menerangkan hakikat struktur bahasa dan bagaimana struktur ini diperolehi dan digunakan pada waktu bertutur dan memahami ayat-ayat (ujaran-ujaran) bahasa. Pada peringkat praktisnya, psikolinguistik cuba menerapkan pengetahuan linguistik dan psikologi dengan masalah seperti pengajaran dan pembelajaran bahasa, pengajaran permulaan dan pembacaan lanjutan, kedwibahasaan (bilingualism) dan multilingualism, penyakit bertutur seperti afaria, gagap dan sebagainya, komunikasi, pemikiran manusia, dialek-dialek, pidginisme dan kreolisasi dan masalah-masalah sosial lain yang menyangkut bahasa seperti bahasa dan pendidikan, bahasa dan pembangunan nusa dan bangsa (Mangantar Simunjuntak,1987).


Hubungan Psikolinguistik dan Kemahiran Bahasa

Dalam aspek kemahiran membaca, kegiatan membaca dan memahami apa yang dibaca merupakan perkara yang penting bukan sahaja dalam pendidikan bahasa, bahkan juga dalam mata-mata pelajaran lain. Dalam proses membaca ini, seseorang murid itu bukanlah setakat membunyikan sebutan sesuatu perkataan atau ayat, tetapi dapat memahami apa yang disebut atau dibaca serta dapat bersama-sama mengikuti jalan fikiran seseorang pengarang. Pemahaman terhadap apa yang dibaca merupakan matlamat utama seseorang pembaca. Oleh yang demikian bacaan bukanlah satu respons kepada grafik semata-mata, sebaliknya ia meliputi kebolehan mendapatkan satu gambaran yang bermakna daripada idea-idea atau maklumat dalam bahan bacaan itu.

Untuk memahami proses membaca, kita sebenarnya cuba memahami apakah yang dilakukan oleh pembaca apabila dia berusaha mendapatkan makna daripada sesuatu petikan atau bahan bacaan. Menurut psikolinguistik kognitif, proses membaca bermula dengan makna dan berakhir dengan makna pula (Mangantar Simanjuntak,1988). Pembaca terpaksa bergantung kepada pengetahuan dunianya untuk memberi makna kepada lambang-lambang tulisan yang dibacanya. Dengan demikian proses membaca menurut pandangan psikolinguistik kognitif merupakan satu proses dua hala. Hala yang pertama, iaitu hala dari lambang ke otak dan hala yang kedua ialah dari otak ke lambang tulisan. (ibid : 161). Sebenarnya, hala yang pertama itu hanyalah merupakan tanda saran (cue) belaka untuk membantu otak manusia melakukan tugasnya, iaitu meramal, mentafsirkan secara tentatif dan kemudian memastikan kata-kata dalam kalimat yang dibaca dengan pertolongan erti yang dikerahkan oleh otak berdasarkan sintaksis dan konteks kata-kata itu. Menurut fahaman psikolinguistik, membaca adalah proses psikolinguistik yang berlaku apabila seseorang pembaca membentuk semula di dalam fikirannya (otaknya) erti yang mungkin ingin disampaikan oleh seseorang penulis melalui lambang-lambang bertulis yang dibaca oleh pembaca tadi. Menurut pengertian ini seseorang harus segera menarik erti daripada teks dengan pertolongan yang minimum daripada tanda saran yang didapati daripada lambang-lambang bertulis dalam teks itu tanpa membunyikan kata-katanya satu persatu. Dengan demikian, jelaslah bahawa tujuan utama membaca ialah untuk mendapatkan erti yang sebenarnya. Tanda saran daripada huruf atau kalimat bertulis inilah yang merangsangkan otak untuk meramalkan erti dan seterusnya merumuskan erti yang sebenarnya dengan melakukan integrasi dan rekonstruksi.

Berdasarkan keterangan di atas didapati bahawa membaca mempunyai hubungan yang erat dengan disiplin psikolinguistik. Kedua-duanya saling berhubung kait kerana setiap kali seseorang melakukan kegiatan membaca, secara tidak langsung dia melibatkan dirinya dengan faktor-faktor psikolinguistik. Pemahaman terhadap apa yang dibaca berkait rapat dengan pengetahuan latarnya yang merangkumi segala pengalaman hidup serta kecekapan berbahasa. Teori-teori psikolinguistik menyatakan bahawa bacaan itu adalah satu proses pemikiran yang menumpukan kepada usaha untuk mencari pemahaman dengan menggunakan berbagai-bagai pengetahuan dan kemahiran untuk membaca dan memahami petikan yang dibacanya. Sambil dia membaca dan mengikuti unit-unit pemikiran atau makna, dia mencuba menelaah atau meramalkan akan unit-unit bacaan yang seterusnya (Abdul Aziz Abdul Talib,1984 ).

Faktor-Faktor Utama Yang Mempengaruhi Penguasaan Kemahiran Membaca
Seperti yang telah dibincangkan, faktor-faktor psikolinguistik yang mempengaruhi kemahiran membaca mempunyai pertalian rapat dengan diri pembaca dan pengetahuan latarnya. Untuk itu, perhatian haruslah diberi ke atas faktor-faktor yang terlibat secara langsung dalam penguasaan kemahiran membaca.


Faktor Fizikal

Pertumbuhan dan perkembangan fizikal ialah salah satu aspek yang boleh mempengaruhi kebolehan membaca kanak-kanak. Kesihatan fizikal amat penting dalam menentukan kebolehan dan kecekapan seseorang kanak-kanak itu belajar membaca. Sekiranya kanak-kanak itu mengalami masalah kecacatan fizikal seperti kurang pendengaran atau penglihatan, maka sudah pasti keadaan itu menjejaskan proses perkembangan membaca bagi kanak-kanak itu. Oleh yang demikian faktor penglihatan dan pendengaran yang baik serta kebolehan bertutur secara normal membantu kanak-kanak menguasai kemahiran membaca.

Dengan memiliki penglihatan yang baik, seseorang kanak-kanak dapat mengamati sesuatu dengan jelas. Lebih penting lagi ialah, dia dapat membezakan bentuk-bentuk visual/perkataan serta mengingatinya . Kebiasaan melihat serta mengamati sesuatu bentuk visual/perkataan akan membolehkan pembaca menyimpannya dalam ingatan jangka panjang.

Pendengaran yang baik juga membantu pembaca membunyikan sesuatu perkataan atau ayat dengan betul. Sebelum itu seseorang pembaca perlu didedahkan dengan sistem bunyi bagi sesuatu bahasa. Kebolehan mendengar dengan tepat setiap bunyi bagi sesuatu huruf atau perkataan membolehkan pembaca membezakan bunyi atau fonem sesuatu bahasa. Proses pendengaran yang dilalui oleh setiap individu dalam menguasai kemahiran membaca dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat:

i. mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa;
ii. memahami bunyi-bunyi tersebut;
iii. menilai bunyi-bunyi yang diperdengarkan; dan
iv. bertindak terhadap bunyi-bunyi tersebut.

Dalam proses mendengar deretan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa itu, individu yang berkenaan melalui proses menerima bunyi-bunyi . Bunyi-bunyi yang dimaksudkan itu merupakan bunyi-bunyi yang datang dari unsur luar dan sengaja dihasilkan dengan membawa maksud tertentu. Dalam pengajaran membaca, sesuatu huruf, perkataan atau ayat dibunyikan dengan tepat untuk membolehkan kanak-kanak atau pelajar mendengar dan mengesan bunyi-bunyi tersebut. Proses mendengar dan mengesan ini hanya mampu diterima oleh setiap individu yang mempunyai alat pancaindera dengar yang normal.

Peringkat kedua dalam proses pendengaran ialah memahami deretan bunyi-bunyi bahasa yang diperdengarkan kepadanya. Sesuatu deretan bunyi itu biasanya dikaitkan dengan sesuatu maksud yang tertentu. Apabila bunyi –bunyi itu diperdengarkan dan diikuti pula dengan tingkah laku yang tertentu oleh guru, kanak-kanak/pelajar yang mendengarnya akan menghubungkan tingkah laku tersebut dengan bunyi-bunyi yang dihasilkan. Proses ini lebih berkesan sekiranya deretan bunyi-bunyi tadi diulang beberapa kali sehingga menjadi kebiasaan kepada pelajar.
Pada peringkat ketiga, pelajar telah menguasai makna beberapa perkataan dan memahami persamaan erti serta melihat kelainan makna yang wujud antara satu perkataan dengan perkataan yang lain dalam satu bahasa yang sama. Pada peringkat ini pelajar sudah dapat menilai bunyi-bunyi yang diperdengarkan kepadanya.

Setelah ketiga-tiga peringkat dilalui dan dikuasai , peringkat terakhir ialah bertindak terhadap apa yang didengar. Pelajar boleh melakukan sesuatu mengikut apa yang didengar atau menyebut sesuatu perkataan atau ayat seperti mana yang sebetulnya. Sehubungan dengan itu, peringkat yang seterusnya ialah kemahiran bertutur yang merupakan satu lagi aspek kemahiran bahasa yang perlu dikuasai untuk membolehkan seseorang menguasai kemahiran membaca. Kemahiran bertutur amat penting kerana ia menentukan penyebutan sesuatu perkataan dengan betul dan tepat. Sekiranya seseorang pelajar menghadapi masalah dalam pertuturan contohnya gagap, dia akan menghadapi kesukaran untuk membunyikan sesuatu ujaran. Secara tidak langsung keadaan ini akan menjejaskan penguasaan terhadap kemahiran membaca dengan baik.
Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah kepada kita betapa ciri-ciri fizikal seseorang memainkan peranan yang penting dalam membantunya untuk menguasai kemahiran membaca. Kecacatan fizikal , iaitu yang melibatkan pancainderanya akan menjejaskan penguasaan kemahiran membaca.


Faktor Kecerdasan (Mental)

Pada umumnya, kecerdasan dapat ditafsirkan sebagai kebolehan untuk melakukan pemikiran secara mujarad, kebolehan untuk membuat penyeluruhan dan cara tindakan terhadap sesuatu yang bermasalah (Atan Long,1978).

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kesempurnaan pemelajaran dapat dinilai dari segi senang susahnya dan cepat lambatnya pemahaman seseorang terhadap sesuatu yang dipelajari. Pemahaman ini sebahagian besar bergantung kepada taraf kemampuan mental seseorang yang belajar untuk memahami apa yang dipelajarinya. Dari segi psikologi, dikatakan bahawa kadar pemahaman seseorang terhadap apa yang dipelajari dipengaruhi oleh darjah kecerdasannya.
Dalam aspek penguasaan kemahiran membaca,kecerdasan otak dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan kebolehan membaca seseorang itu. Di Amerika, satu kajian yang telah dibuat di sekolah-sekolah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai otak yang cerdas dan sederhana cepat menguasai kemahiran membaca jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan di bawah paras sederhana.

Oleh yang demikian, dalam pengajaran membaca, seseorang guru haruslah peka terhadap perbezaan yang wujud di kalangan para pelajarnya agar dia dapat menentu dan memilih bahan yang sesuai dengan tahap pencapaian pelajar sekurang-kurangnya dapat membentuk dan memupuk minat membaca serta penguasaan terhadap kemahiran membaca secara berperingkat-peringkat. Pembelajaran bacaan seperti ini lebih berkesan dan menjamin penguasaan kemahiran membaca yang baik dalam jangka masa panjang.


Faktor Emosi

Emosi ialah keadaan kebangkitan seseorang sebagai satu reaksi terhadap benda atau keadaan. Bagi orang yang mengalami kebangkitan emosi, aspek emosi yang paling nyata ialah perasaan yang berhubung dengan emosi itu. Dia mungkin berasa takut, gementar, gugup, suka, seronok, sedih dan sebagainya. Sekiranya emosi seseorang itu terbangkit berhubung dengan sesuatu yang telah memberikan pengalaman yang menyenangkan, maka dia akan digerakkan untuk mencapai matlamat yang diinginkan. Sebaliknya, emosi yang terbangkit oleh sesuatu yang mendatangkan kesakitan pada masa lepas akan menggerakkan seseorang melarikan diri atau menjauhkan dirinya daripada matlamat yang hendak dicapai. Pada dasarnya, setiap orang akan dapat menjalankan aktiviti dengan baik dan jayanya jika dia mempunyai keyakinan diri. Dalam konteks ini, keyakinan diri membantu seseorang itu menguasai kemahiran membaca dengan lebih mudah daripada pelajar yang mempunyai perasaan rendah diri. Selain itu, seseorang yang dalam keadaan fikiran yang tidak tenteram, bimbang dan kecewa akan mengalami kesukaran untuk mempelajari sesuatu dengan berkesan. Lebih-lebih lagi jika guru mengambil tindakan yang negatif (seperti menyuruh pelajar berdiri di hadapan kelas, mengeluar kata-kata yang menyentuh perasaan pelajar dan sebagainya) terhadap pelajar yang tidak dapat membaca dengan baik akan menimbulkan gangguan emosi yang boleh menjejaskan proses perkembangan membacanya.

Penutup

Hasil daripada perbincangan, jelaslah kepada kita bahawa faktor-faktor psikolinguistik begitu berpengaruh dalam menentukan tahap penguasaan kemahiran membaca di kalangan kanak-kanak dan pelajar. Untuk membolehkan seseorang kanak-kanak atau pelajar menguasai aspek membaca, dia seharusnya dapat bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi.


Rujukan
Abdul Aziz Abdul Talib.(1984). Psikolinguistik dan Pengajaran Bacaan Di Sekolah-Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa, 28(26), 357-363.

Atan Long. (1979). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Goodman, K.S. (Ed.). (1973). The Psycholinguistic Nature of The Reading Process. Detroit: Detroit Wayne State University Press.

Kamaruddin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa Malaysia. Petaling Jaya : Longman.

Mangantar Simanjuntak.(1987). Pengantar Psikolinguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mangantar Simanjuntak.(1988). Pendekatan Psikolinguistik Kognitif Dalam Pengajaran dan Pemelajaran Membaca Bagi Kanak-Kanak Berumur 4 – 6 Tahun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa, 30(2), 157 – 169.

Smith, F. (1977). Psycholinguistics And Reading. New York: Rhinehart & Winston, Inc.

No comments: